OKT 11 – Biar saya dan seluruh keturunan dan nenek moyang saya dikutuk tidak mengapa. Saya sudah lali. Hatta kadang kala adik beradik dan saudara mara saya yang tidak ada kena mengena dengan tulisan saya ini turut terasa tempias. Mereka ‘diserang’ oleh golongan ultra kiasu dengan berbagai-bagai tohmahan. Keturunan nenek moyang saya dikatakan tidak pandai mendidik saya menjadi orang Cina, tidak tahu menjaga keturunan, lebih Melayu daripada Melayu, pengkhianat bangsa dan berbagai tohmahan lagi yang amat pahit untuk diterima.
Saya tidak ada masalah untuk menghadapi dengan golongan ultra kiasu ini kerana saya faham benar perangai mereka sebab kami dari jenis yang sama. Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Biarpun terpaksa berhadapan dengan orang dalam keluarga sendiri. Tidak mengapa, sebab mereka tidak faham. Apatah lagi untuk memahami Islam sebagai satu cara hidup. Hidup ini bukan semudah yang disangka. Perjuangan mempertahankan kebenaran kadang kala amat pahit. Namun, kepahitan itu akan terubat apabila kita sentiasa yakin bahawa Allah SWT sentiasa bersama-sama orang yang benar. Justeru, sentiasalah meletakkan kepentingan Allah di hadapan berbanding yang lain.
Setelah memeluk Islam, saya belajar dan diajar, apabila berlaku pertembungan antara kepentingan Islam dengan lain-lain kepentingan termasuk kepentingan bangsa, nenek moyang dan sebagainya, maka kepentingan Islam itu mesti diutamakan. Tidak boleh tidak. Sama juga pertembungan antara kepentingan ummah dengan kepentingan diri, maka ummah perlu diutamakan. Sebab kepentingan ummah itu memberi implikasi yang besar terhadap Islam. Ia adalah hak Allah SWT yang kekal abadi. Sedangkan kepentingan lain hanyalah bersifat sementara kerana kita hanya menumpang sahaja di muka bumi ini.
Dengan sebab itu, saya tidak dapat bersetuju dengan pepatah bangsa saya yang mengatakan harta benda boleh bergolok bergadai, tetapi bahasa, keturunan, identiti dan pusaka nenek moyang mesti dipertahankan, jangan digolok-gadaikan. Mesti dipelihara bermati-matian, tidak ada tolak ansur jika tergugat. Benarkah begitu? Apa yang saya faham, kepentingan diri, keturunan, parti politik, nenek moyang hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT. Begitu juga hak asasi manusia hendaklah diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan Allah SWT.
Pendek kata, apa juga kepentingan, bila mana bertembung dengan kepentingan Allah, maka sepatutnya kita lupakanlah yang lain-lain kerana ia tidak kekal, bersifat sementara. Itu bukan bermakna kita terus berpeluk tubuh melihat sahaja apa yang berlaku. Apa guna mulia di dunia, di sisi manusia, tetapi hina di sisi Allah SWT. Perkara ini perlu kita fahami, termasuk golongan ultra kiasu itu.
Paling baik biar kita mulia di dunia, mulia di sisi Allah. Tetapi jika tidak ada pilihan, biarlah tidak seberapa mulia di dunia tetapi mulia di sisi Allah. Ini pegangan saya sebagai insan kerdil yang baru menerima Islam. Saya tidak tahu orang lain bagaimana penerimaannya?
Penulisan saya hanya mahu orang Islam sedar bahawa orang lain telah lama terkehadapan dan kuat, sehingga sukar untuk kita kejar. Adakah kita mahu terus ketinggalan? Lihatlah bagaimana orang lain menjaga kepentingan mereka. Mereka telah menggapai awan, sedangkan kita asyik bercakaran dalam semua perkara. Sudahlah kita tidak habis-habis berpecah dalam politik, sekurang-kurangnya kita bersatu dalam perkara lain. Ini tidak, dalam perkara lain pun kita masih dan terus berpecah.
Isu terbaru, berkaitan dengan kes hukuman sebat ke atas saudari Kartika Dewi Shukarno. Saya amat kagum dan menghormati beliau dan keluarganya sendiri, yang telah reda atas hukuman yang dijatuhkan dan memohon hukuman sebat itu dilaksanakan. Persoalan sama ada hukuman itu wajar atau tidak, adalah isu lain. Pokoknya, institusi tertinggi undang-undang telah memutuskan. Hormatilah. Kenapa dan mengapa pula orang Islam sendiri yang tidak kena hukuman atau tidak kena-mengena yang terkinja-kinja? Tidakkah kita sedar, orang lain sedang bersorak gembira kerana mereka tidak perlu bercakap lagi. Kita sudah mewakili mereka.
Mereka yang ultra kiasu ini tidak lagi perlu campur tangan atau mempertikaikan keputusan mahkamah syariah kerana kita sendiri sudah ada orang dalam yang bertindak seperti musuh dalam selimut? Kita sesama sendiri tidak ada kesepakatan dalam isu asas berkaitan agama dan hal ehwal sendiri yang menjadi darah daging, bayangkan bagaimana dengan isu yang lain?
Saya tidak pernah dengar orang bukan Islam menentang keputusan sami-sami Buddha, Hindu atau paderi mereka walaupun tindakan keagamaannya kadangkala agak ekstrim. Misalnya, isu menutup aurat. Bagi mereka yang tidak mahu menutup aurat, eloklah senyap sahaja. Tidak perlu mempertikaikan mereka yang ingin menutup atau, berubah menjadi baik (bergantung kepada niat). Jangan sindir atau menentang mereka.
Saya tidak pernah dengar ada kaum sebangsa saya mempertikaikan pakaian sami Buddha, Hindu atau paderi Kristian yang tidak kurang tutupnya berbanding Islam. Ada sami yang sanggup membotak kepala (sama ada lelaki atau wanita), berjalan kaki tanpa selipar dan lain-lain lagi mengikut ajaran mereka demi menyampaikan mesej agama. Saya lihat orang ini amat dimuliakan apabila berada di khalayak atau datang dari rumah ke rumah. Mereka disambut mesra, sedekah atau sedekah dihulurkan dengan sebanyak mungkin. Kedatangan mereka dikiaskan membawa rezeki dan tuah kepada tuan rumah. Pendek kata, orang bukan Islam amat memuliakan ketua agama mereka, walaupun kelihatan esktrim.
Kenapa kita tidak seperti ‘tindakan’ mereka? Bersatu mempertahankan ajaran nenek moyang. Bersatu dalam senyap walaupun di luar seolah-olah berpecah. Kita hari ini, usahkan bersatu dalam senyap, asyik berpecah luar dan dalam. Sengaja membuka pekung di dada. Berpegang kepada hak asasi manusia atau human rights lebih daripada Hak Allah. Lebih malang lagi, yang baik ditentang, yang mungkar disenyapkan? Mereka yang dikenakan hukuman minum arak ditentang, mereka yang minum arak tidak ditentang. Mereka yang tidak menutup aurat sehingga menampakkan yang tersurat dan tersirat (amat seksi), tidak disuruh tutup, mereka yang sudah tutup, disindir dengan kata-kata ‘buat apa tutup-tutup’! Lebih hina lagi, apabila terbit kata-kata ‘apa guna tutup-tutup kalau hati busuk, perangai yang tutup lebih teruk daripada yang tidak tutup, jadi lebih baik jangan tutup’.
Ingatlah, kita hanya manusia biasa. Tidak semestinya mereka yang cuba beramal dengan suruhan agama, akhlak mereka lebih baik daripada yang tidak beramal, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Perlu dibezakan antara hak manusia dengan hak Allah. Ada manusia cuba mengikuti ajaran agama, namun di pertengahan jalan mereka diuji, akhirnya terbabas. Ada manusia yang tidak ada keinginan sedikitpun mengikuti ajaran agama atau ajaran Allah, tetapi mereka nampak baik sahaja, seolah-olah yang tidak beramalkan dengan ajaran agama lebih baik daripada yang beramal.
Persoalan saya, apakah ini bermaksud mereka yang tidak beramal itu lebih baik daripada mereka yang cuba beramal? Apakah dek kerana seorang imam atau sami atau paderi, terlibat dalam kes rogol kita boleh mengatakan tidak ada gunanya beramal dengan ajaran Tuhan? Kenapa kita perlu menyalahkan ajaran Tuhan dalam hal ini berbanding diri kita sendiri yang merosakkan ajaran tersebut? Inilah sikap ultra kiasu yang boleh merosak akidah manusia. Mementingkan hak manusia lebih daripada hak Pencipta. Berhujah menegakkan benang yang basah. Memperlihatkan seolah-olah manusia tidak perlu lagi kepada agama kerana menyekat hak asasi manusia.
Jika begitulah keadaannya, tidak perlulah bersusah payah atau beriya-iya hendak membina begitu banyak rumah ibadat di sana sini sehingga dibina di tempat yang tidak sepatutnya. Jika kehadiran Tuhan itu tidak perlu, maka tidak perlulah kita semua beramal. Lebih baik kita ikut kata nafsu diri berasaskan hak asasi. Buatlah apa sahaja yang disukai walaupun dilarang oleh semua ajaran bertuhan seperti, minum arak, berjudi, berkasino, berpeleseran, berzina dan sebagainya. Apakah mungkin mereka yang menentang hukuman ke atas Kartika akan bersetuju dengan kemungkaran ini? Apakah kewujudan agama itu sendiri dilihat sebagai ancaman kebebasan atau menyekat hak asasi manusia? – Mingguan Malaysia
Source: The Malaysian Insider, 11 Oct 2009
Mengenali Musuh Dalam Selimut - Ridhuan Tee Abdullah
Harapan Paling Akhir (HPA)
Pejam celik2, sudah hampir dua tahun saya bersama dengan HPA. HPA yang bermaksud Herba Perubatan Al Wahida juga popular dikenali sebagai "Harapan Paling Akhir". Slogan "Harapan Paling Akhir ini kali pertama saya mendengarnya ketika menghadiri kursus Perkongsian Bijak Cemerlang (PBC) anjuran HPA Dungun yang dipimpin oleh Ustaz Jamaluddin atau lebih mesra dikenali sebagai Ust Ja
Walaupun dilihat telah bersama lama dengan HPA (dua tahun bukan waktu yang singkat), tetapi tahun pertama penglibatan saya bersama dengan syarikat ini hanyalah sebagai ahli "tidur nyenyak". Maksudnya tidak pernah membeli produknya walaupun satu "sachet" kopi Radix. Mungkin sebab saya kesibukan pada waktu itu sebagai seorang pelajar yang banyak terlibat dengan aktiviti kokurikolum lain.
Hati terdetik untuk betul2 mengambil cakna secara serius dengan HPA apabila berpraktikal di Terengganu. Pengenalan dengan seorang sahabat bernama Zumairi yang asyik bercerita "bestnya HPA", "penting HPA" dsb menyebabkan saya tertarik untuk menjadi sebahagian daripada "mata-mata rantai" perjuangan HPA.
Penyertaan dalam PBC lebih menguatkan semangat saya untuk terus bersama dengan syarikat ini. Penekanan yang diberikan oleh Ust Ja bahawa HPA nih bukan hanya sekadar peluang perniagaan tetapi juga merupakan satu PERJUANGAN benar2 membakar semangat saya untuk terus bersama. Keazaman HPA untuk mengembalikan maruah ummah yang tertipu dan terlalu bergantung dengan produk makanan dan perubatan milik orang bukan Islam menjadi pendorong saya hingga kini.
Ya Allah, kuatkanlah semangatku untuk terus menyambung perjuangan memartabatkan agamaMu di muka bumi ini.
Ya Allah, kurniakan kami kesihatan yang baik, jauh daripada wabak2 berbahaya seperti H1N1, TB, taun dsb supaya kami benar2 kompetan untuk memberikan sumbangan kepada agamaMU sedaya mampu kami.
Perkenankan rayuan kami ini, ya Allah
Selamat Berpuasa

Ramadhan datang lagi.
Semoga kita semua mengambil peluang ini sebaiknya.
Kerana ini mungkin Ramadhan kita yang terakhir.
"Beribadahlah seperti mana kamu akan mati esok hari"
"beribadahlah seperti kamu melihat Allah dan Allah melihat kamu. Jika kamu tidak dapat membayangkannya, cukuplah kamu meyakini bahawa Allah melihat kamu"
Tafsir Surah at Taubah, 122-123 (TUNTUTAN JIHAD DAN KEPERLUAN MENUNTUT ILMU.)
Firman Allah Taala
Bermaksud “ Dan tidaklah betul dan elok orang-orang yang beriman keluar semuanya pergi berperang,oleh itu hendaklah keluar sebahagian sahaja dari setip-tiap puak diantara mereka,supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama,dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya yang keluar berjuang apabila orang-orang itu kembali kepada mereka,mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah.)( at-Taubah:122)
Asbabul Nuzul (sebab turun ayat)
Di riwayatkan oleh Ibn Abi Hatim yang bersumberkan daripada Ikrimah katanya, ketika turun ayat
Bermaksud: “Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah - membela ugamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya” (at-Taubah:39) beberapa orang penduduk kampung yang jauh dari Bandar tidak menyertai peperangan kerana mengajar kaumnya tentang ilmu. Lalu Orang-orang munafiq berkata: “Celakalah orang-orang di kampung itu kerana ada segelintir yang tidak turun ke medan perang”. Lalu turun ayat ini وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً hingga akhirnya.
Dalam satu riwayat yang lain juga diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada Abdullah bin Abidullah bin Amir berkata: “Orang-orang Islam diberi galakkan supaya berjihad, apabila Rasulullah s.a.w. menghantar bala tentera ke medan perang mereka akan keluar beramai-ramai. Pada masa yang sama mereka meninggalkan Nabi s.a.w. di Madinah dengan beberapa orang sahaja. Lalu ayat itu di turunkan.
Hukum hakam dan pengajaran yang berkait dengan ayat di atas.
1. Keluar ke medan perang adalah fardhu kifayah.Ayat di atas menerangkan kepada kita, bahawa orang-orang mukmin itu tidaklah semuanya diperintahkan pergi berjihad,ini adalah kerana berperang itu hukum asalnya adalah fardu kifayah.Apabila sebahagian orang-orang mukmin telah mengerjakannya maka gugurlah kewajipan itu atas yang lain.
Kecuali jika pihak pemerintah mengeluarkan arahan supaya pergi ke medan perang. Pada saat ini hukumnya adalah wajib.Seperti yang berlaku di dalam peperangan Tabuk.Rasulullah s.a.w memerintahkan semua penduduk Madinah pergi ke medan jihad dan dikecualikan kepada beberapa golongan antaranya orang tua ,orang uzur dan kanak-kanak.
2. Kewajipan menuntut ilmu. Allah Taala memerintahkan sebahagian masyarakat pergi berperang dan sebahagian lagi mesti menuntut ilmu. Menuntut ilmu juga penting berbanding keluar ke medan jihad. Tidak seharusnya mementingkan kepada berjuang semata-mata dan meninggalkan tuntutan menuntut ilmu pengetahuan. Ini kerana golongan yang berilmu berkewajipan menyampaikan ilmu yang berkait dengan hukum hakam dan sebagainya kepada golongan yang keluar berjihad apabila mereka pulang.
Sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah dalam sebuah peperangan yang tidak disertai oleh Baginda, seluruh sahabat semuanya turun ke medan perang sehinggakan meninggalkan Baginda dengan beberapa orang sahaja di kota Madinah. Lalu Allah Taala memberi arahan supaya tidak sepatutnya Rasulullah s.a.w ditinggalkan di madinah bersama dengan beberapa orang sahaja.
3. pengertian لِيَتَفَقَّهُوا (hendaklah kamu mendalami ilmu) di dalam ayat ini memberi makna mendalami dan mempelajari ilmu pengetahuan yang menyeru manusia kepada al-haq (kebenaran). Ilmu itu adalah untuk memberi peringatan dan membimbing para pejuang agama Allah kepada agama yang sebenar. Memberi amaran kepada mereka tentang bahaya sifat jahil dan hendaklah menjauhkan perkara-perkara maksiat kepada Allah Taala.
SIASAH ( POLITIK) PEPERANGAN DALAM MEMERANGI ORANG KAFIR
Firman Allah SWT
Bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman!Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu,dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan(serta ketabahan hati) yang ada pada kamu dan ketahuilah,sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa (dengan memberikan pertolongannya).(at-Taubah:123)
Tafsir dan Keterangan Ayat.
1- Di dalam ayat ini Allah taala meyeru kepada orang-orang yang beriman supaya memerangi kaum kafir yang paling hampir dengan tempat mereka dan seterusnya yang paling hampir selepas daripada itu. Yang dekat itu lebih berhak dan lebih utama sebelum menyerang tempat yang jauh. Inilah suatu siasah peperangan yang diajar oleh Allah taala kepada kita.
2- Siasah peperangan itu ialah orang-orang kafir dapat merasai sikap pejuang-pejuang tentera Islam yang mempunyai jiwa dan semangat yang kental, gagah perkasa, penuh kesabaran dan sebagainya ketika berperang.Ini adalah fitrah dan adat peperangan serta maslahah peperangan. Firman Allah taala. At-taubah 73
Bermaksud: “Wahai Nabi, berjihadlah menentang orang-orang kafir dan orang-orang munafik, dan bertindak keras terhadap mereka”.
3 Ketahuilah , Allah Taala bersama orang –orang yang bertakwa iaitu mereka akan diberi kemenangan, serta diberi perlindungan dan bantuan oleh Allah Taala.Orang-orang yang bertakwa ialah orang yang menjalankan segala perintah Allah, di kerjakan apa yang di suruh dan meninggalkan apa yang dilarang.
Hukum hakam dan pengajaran yang berkait dengan ayat 123
1.Umat Islam dibenarkan oleh syarak untuk memerangi kaum kafir (kafir harbi) yang sentiasa mengambil peluang untuk menghancurkan Islam.
2.Allah Taala mengajar kepada kita bagaimana cara untuk berjihad dan berperang dengan musuh Islam. Di mulai dengan mereka yang paling hampir jaraknya. Sebab itu Rasulullah s.a.w memulakan serangan kepada bangsa arab terdahulu kemudian diikuti kuasa besar Rom dan Parsi.
Aturan atau tertib menjalankan dakwah dan memerangi musuh Allah Taala.
Ini adalah uslub dan pengajaran kepada kita bagaimana untuk berdakwah dan berperang .Mestilah mengikut tertibnya sebagaimana yang diperintahankan oleh Allah.
Di dahulukan yang terdekat.Firman Allah Taala
Bermaksud: Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.(as-Syu’ara’:213)
Kemudian disebarkan kepada penduduk sekitar di kepulauan arab.Firman-Nya:
Maksudnya: “Dan supaya engkau memberi peringatan kepada penduduk "Ummul-Qura" (Makkah) serta orang-orang yang tinggal di kelilingnya”. (al-An’am:92 )
Firman-Nya lagi :
Bermaksud: "Kamu(kaum-kaum Arab Badwi) akan diajak menentang satu kaum (penceroboh) yang sangat kuat gagah supaya kamu memeranginya, atau mereka menurut perintah Islam (secara damai).”
Kemudian bergerak pula kepada penduduk di luar kawasan penduduk arab .Firman Allah Taala;
Bermaksud: “Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat.”(at-Taubah : 29)
Bermaksud: “Dan diwahyukan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai kepadanya seruan Al-Quran itu”.(al-An’am:19)
3- Orang Islam dituntut supaya bersifat tegas dan kasar terhadap orang kafir sehinggakan orang kafir boleh menyatakan bahawa orang Islam memang keras dan tegas. Terutamanya dalam medan peperangan. Di luar medan perang orang Islam mestilah lembut dan mesra dengan mereka. Berdakwah kepada mereka dengan hikmah dan bijaksana.
4- Sesungguhnya Allah Taala adalah Penolong kepada orang-orang yang bertakwa samada semasa perang ataupun semasa aman.Dengan syarat tujuan peperangan itu adalah kerana bertakwa kepada Allah bukannya untuk mencari kedudukan, pangkat dan harta.
Wallahu’alam
Rujukan: Tafsir al-Qurtubi
Tafsir al-Munir
Muhammad Al Fatih: Bagaimana Baginda Terbentuk?

Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad melukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapol.
Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.
Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;
a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat.
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta
Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;
Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;
a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter.
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter.
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebel.
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 battalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa.
Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat di letakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.
Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.
Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerentah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub Al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad Al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.
Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!
Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.
Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.
Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau. Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!
Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal Al Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerentah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak. Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujjah bahawa se orang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.
Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa. Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.
Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.
Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad Al Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini. Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisa. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.
Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;
a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.
Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapol dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.
Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh. Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.
Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.
Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih. Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.
Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad? Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.
Sultan Muhammad dapat menganalisa dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.
Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole. Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda banginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!
Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebiuah kenyataan.
Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah. Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu. Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti. Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.
Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!
Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur. Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu. Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: “Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!”. Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, “Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!”. Sebahagian daripada tenteranya duduk.
Kemudian Baginda bertitah, “Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!”. Kali ini semuanya duduk, kecuali Sbaginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah! Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajjud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Instanbul.
Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.
Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka.
Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.
Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa taqwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerentah.
Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad. Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.
Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.
Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain. Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerentah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi. Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai. Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad Al Fatih.
Dipetik daripada: http://cetusan-hati.blogspot.com/
H1N1 konspirasi kapitalis buat duit
Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.
Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".
Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.
Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.
Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.
Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.
Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.
Apa sebenarnya semua fenomena ini?
Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.
Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.
Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:
- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.
Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.
Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.
Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.
Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.
Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:
"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.
International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.
The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group."
Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.
Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.
Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.
Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.
Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.
Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.
Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.
Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:
1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.
Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.
Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.
DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!
Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.
DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.
Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.
Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.
Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.
Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.
Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.
Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.
Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.
Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.
Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.
Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.
Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.
Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.
Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.
Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.
Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.
Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.
Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.
Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.
Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.
Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.
Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.
Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.
Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.
Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.
Dipetik daripada Malaysiakini, 13 August 2009
Penulis: Hishamuddin Rais
Ulasan: Hishamuddin merungkai satu persoalan yang "wajib" untuk direnungi oleh semua pihak especially yang memperjuangkan keadilan sejagat. Mungkin sebilangan daripada masyarakat mengganggap pandangan Hishamuddin tidak masuk akal. Bagi saya, jika saya seorang kapitalis, jika saya berpeluang untuk menambah berbillion ringgit/pound/US dolar dengan cara sebegini, saya mungkin sanggup.
Saya bukan kapitalis. Tapi seorang pemuda Islam biasa yang mahu menghapuskan kezaliman dunia. Saya masih lagi merangkak2 untuk menggapai cita-cita tersebut. Mungkin sempat dan mungkin juga tidak. Tapi saya pasti berusaha ke arah itu.
Kapitalis adalah Penzalim. Mereka bagai Firaun Moden. mereka tidak perlu mengaku Tuhan tapi rakyat dunuia daripada pemimpin negara hingga petani biasa bergantung kepada mereka. Seoolah-olah mereka itu Tuhan. Penzalim ini pasti celaka di akhirat kelak. Tapi jangan mereka hanya celaka di dunia sana. Celakakan mereka juga di sini. Ayuh para pemuda, intellektual! Rapatkan saf, satukan barisan kita gempur para Penzalim ini dengan segala kekuatan yang kita ada.
Makbulkan doa kami ya Allah

