Pengecut lebih teruk daripada hilang maruah

Saya baru sahaja selesai mengedit sebahagian report projek akhir tahun. Cadangnya nak dihantar kepada supervisor esok pagi untuk mendapat pengesahan. Report ini perlu disiap cepat sebab banyak lagi urusan lain yang nak diuruskan sebelum meninggalkan bumi kampus.

Sambil-sambil buat report tadi, saya teringat kepada seorang guru saya di sekolah menengah dulu. Namanya Dr Ros binti Zakaria. Menurut cikgu2 di sekolah, Dr Ros dah tidak mengajar lagi di sekolah tersebut. Dengarnya beliau bekerja di Kementerian Pelajaran sekarang. Tak pasti jawatan apa yang disandang.

Dr Ros tidak lama mengajar di sekolah saya. Sebab dia mula mengajar kami sewaktu kami di tingkatan 2. Rasa-rasanya beliau hanya mengajar selama 6 tahun di situ. Guru-guru lain hampir berbelas-belas tahun mengajar di situ. Namun begitu, kehadiran beliau di sekolah tersebut bagi saya bukan sekadar untuk mengajar, tetapi juga cuba membuat perubahan di sekolah.

Beliau sangat berdisiplin. Walaupun baru sahaja mengajar di situ, tetapi Dr Ros telah diberi peranan sebagai salah seorang guru penasihat Pemimpin Pelajar (pengawas). Bagaikan singa betina, beliau memimpin para pengawas dan pelajar supaya menjadi lebih berdisiplin. Beliau sangat tegas dengan pengurusan masa. Setiap pagi suaranya sahaja yang bertempik di sekitar sekolah mengarahkan pelajar-pelajar segera hadir ke perhimpunan.

Beliau jugalah yang memperkenalkan kad matrik di sekolah. Tak ingat pula apa alasannya untuk menggantikan tanda nama dengan kad matrik. Dr Ros juga memperkenalkan pilihan raya memilih pemimpin pelajar. Itulah satu-satunya pilihan raya yang pernah di adakan di sekolah. Selepas itu sudah tiada. Pemilihan pengawas kembali menjadi hak mutlak guru-guru.

Ketika mengajar, Dr Ros ibarat panglima perang. Mengajar dengan suara yang kuat sehingga boleh didengari ke kelas-kelas lain. Beliau begitu bersemangat mengajar subjek sejarah. Songkok saya pun pernah disepaknya (guna tangan).

Banyak lagi perubahan drastik yang cuba dilakukan oleh beliau. Tapi bukan semua perubahan itu mendapat sokongan guru2 lain dan pelajar. Rasanya lebih ramai yang membencinya berbanding menyukainya. Tapi Dr Ros langsung tidak hiraukan semua itu. Pernah saya terdengar ada orang mengejek pengawas sebagai "anak anjing". Tak pasti sebab apa sebegitu rupa pengawas diumpamakan. Selaku guru penasihat, Dr Ros membela, " kalau mereka umpamakan para pemimpin pelajar sebagai anak anjing, saya rela dipanggil ibu anjing!" Walaupun sampai tahap itu "sayangnya" kepada pengawas, tetapi sebilangan daripada pengawas juga tidak menyukai beliau. Ah, hal pengawas..biarkanlah..mungkin mereka ada alasan sendiri

Kata-kata beliau yang masih segar dalam ingatan saya ialah " hilang rasa berani adalah perkara paling buruk dalam kehidupan seseorang." Beliau menambah,"hilang maruah lebih baik daripada hilang rasa berani!". Saya terkejut dengan katanya pada waktu itu. Namun begitu, sekarang saya sudah memahami mengapa dia berhujah sedemikian rupa.

Dari sudut positif, mungkin beliau mahu menegaskan bahawa para pelajar perlu berani untuk buat perubahan. Berani untuk berdepan cabaran. Berani untuk menerima kutukan dan cemuhan. Bukan semua boleh menerima perubahan yang kita mahu bawa. Teruskan perubahan itu jika yakin kita di pihak yang benar. Dr Ros buktikan kata-katanya melalui tindakan-tindakannya selama beliau di sekolah.

Hari demi hari, kehidupan menjadi semakin mencabar. Kadar jenayah, rasuah, penipuan, pembunuhan makin meningkat. Persaingan untuk memiliki hidup yang selesa juga semakin tinggi dan payah. Bilangan orang yang cerdik semakin ramai. Namun sebilangan cerdik pandai itu menggunakan kelebihan yang ada untuk menindas orang lain. Ramai yang mahukan suasana sebegini diubah tetapi tidak berani untuk menggerakkan perubahan itu. Hanya mengeluh sendirian.

Hanya Islam mampu merubah suasana yang semakin rencam ini. Namun untuk meyakinkan orang ramai bahawa hanya Islam mampu memimpin perubahan agak sukar. Perlukan keberanian dan ketabahan yang tinggi untuk menyedarkan orang ramai supaya menerima Islam sebagai cabaran hidup ini. Cabarannya boleh sampai tahap maruah kita dijatuhkan di hadapan orang ramai. Jika tiada keberanian, bagaimana kita boleh mengatasinya?

Terima kasih Dr Ros atas pesanan berguna ini. Ia menjadi bekalan untuk saya meneruskan kehidupan ini sebelum menuai hasilNya disana kelak.


Read More !

Wahai pendakwah/imam2 masjid, segera bongkarkan korupsi musuh! - Ayatullah Ali Uza Khamenei

Perutusan Haji oleh Ayatullah Ali Khamenei ini diambil dari sumber Harakah, klik sini.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Penyayang

Musim Haji kali ini adalah merupakan satu kelahiran semula secara spritual dan juga merupakan satu ufuk ketauhidan yang menyinsing segar ke seluruh pelusuk bumi. Aliran perlakuan ritualnya mengalir seperti satu arus sungai yang deras, mempersembah peluang kepada semua para hujjaj untuk mencuci bersih segala karat-karat dosa atau kealpaan dan akhirnya mengembalikan semula kesucian asal usul ketuhanan mereka.

Pembuangan segala sifat-sifat keangkuhan dan keistimewaan di tempat perlakuan Haji dan diikuti dengan pemakaian sehelai pakaian sama yang bernama ihram melambangkan satu umat Muslim yang satu dan juga mewajibkan satu seruan kesatuan dan kefahaman kepada umat Muslim seluruh dunia.

Seruan Haji “Tuhan kamu adalah tuhan yang Satu maka hanya kepadaNyalah kamu menyerah dan berilah berita gembira kepada golongan yang merendah diri” (al-Hajj : 34) dari satu sudut dan “[D]an Masjid yang Suci yang mana Kami telah menetapkan ia sama terbuka kepada semua orang, sama ada yang menghuni dalamnya atau penghuni khemah-khemah” (al-Hajj : 25) dari sudut yang lain dan ketika dalam melakukan kedua-duanya, Ka'abah sebenarnya melembagakan satu seruan kesatuan bagi persaudaraan Islam di samping seruannya ke arah ketauhidan.

Muslimin dari empat penjuru dunia yang telah berkumpul di tempat yang suci dengan niat suci bertawaf di sekeliling Ka'abah atau untuk menziarahi makam suci Rasul terpuji, selawat dan salam ke atasnya dan ke atas ahli keluarga Baginda, adalah diharapkan dapat menghargai peluang untuk memperkuatkan hubungan tali persaudaraan ini kerana ia dapat menyelesaikan banyak cabaran ummah Muslim.

Dewasa ini, kita dapat melihat dengan jelasnya bahawa tangan-tangan golongan yang berniat jahat kepada dunia Islam sangat sibuk, lebih daripada masa dahulu, dalam usaha mereka menanam bibit-bibit perpecahan di kalangan umat Muslim dan disebabkan itulah, umat sangat memerlukan integriti dan kesepakatan lebih daripada sebelum ini.

Hari ini, kuku-kuku musuh yang berlumuran dengan darah sangat sibuk dalam usaha mewujudkan suasana tragik di seluruh pelusuk dunia Islam; Palestin menderita di bawah cengkaman zalim Zionis dan sedang merana dengan cubaan dan dugaan yang berpanjangan. Masjid al-Aqsa berdepan dengan ugutan yang sangat dahsyat; rakyat Gaza yang tidak berdosa, walau telah mengalami pembunuhan beramai-ramai yang tidak disangkakan, masih terpaksa berhadapan dengan keadaan yang amat runcing yang tidak pernah dihadapi sebelum ini; Afghanistan, yang berada di bawah penjajahan tentera, menyaksikan kesengsaraan terkini setiap hari; di Iraq, ketidakstabilan telah merompak rakyatnya dari keharmonian dan ketenangan fikiran mereka; di Yaman pula, peperangan saudara telah menemplak umat Muslim demgan kehibaan yang baharu.

Umat Muslim seluruh dunia mestilah berhenti seketika dan bertanya bagaimana dan dari mana fitnah buta, peperangan, letupan, percubaan membunuh dan pembunuhan beramai-ramai yang telah mencengkam Iraq, Afghanistan dan Pakistan ini telah dicipta reka. Mengapakah rantau tersebut, sebelum masa dan ketika gerombolan-gerombolan askar Barat yang diketuai Amerika Syarikat menyergah negara-negara rantau itu dengan penuh sombong dan memeranjatkan tanpa dijemput, tidak pernah merana dengan tempoh dan jenis penderitaan sebegini panjang?

Golongan penjajah, dalam satu keadaan, akan melabelkan mana-mana pergerakan-pergerakan penentangan yang popular di Palestin, Lubnan atau di mana-mana tempat yang lain sebagai sesuatu yang bersifat pengganas dan, pada keadaan yang lain, merekalah gerombolan yang merencana atau yang mendalangi terorisme kaum yang ganas dalam kalangan negara-negara serantau.

Rantau Asia Barat dan Afrika Utara pernah suatu ketika dahulu dijajah dan dihina selama lebih daripada satu kurun oleh kerajaan-kerajaan Inggeris dan Perancis dan kemudiannya oleh AS dari blok Barat; kekayaan sumber asli negara-negara tersebut telah dirompak, semangat kebebasan mereka telah dihinjak-hinjak dan bangsa mereka telah dijadikan tawanan oleh kerakusan sifat agresif penjajah asing.

Walaupun begitu, hasil kesedaran Islam yang dikembarkan pula dengan penentangan nasional telah menjadikan kerakusan mereka mustahil untuk diteruskan. Kemustahilan ini dimustahilkan lagi dengan wujudnya kebangkitan semula satu kerinduan yang amat kepada kesyahidan dan kepulangan kepada Allah SWT dan kepada jalanNya, yang merupakan satu lonjakan yang maha kuasa dalam sketsa jihad Islami yang menyebabkan para penjajah, akibat telah dikesampingkan ke posisi yang tertekan dan defensif, menggunapakai agenda-agenda lapuk dengan pakaian baharu melalui perencaan muslihat dan bentuk baru penjajahan.

Walaupun begitu, syaitan pelbagai muka yang bernama penjajahan ini telah, pada masa kini, mengerahkan segala kekuatan mereka untuk memastikan Islam itu melutut dalam kekalahan, bermula daripada kekuatan bala tentera, penjajahan secara kejam dan melampau hinggalah kepada penghambaan rangkaian propaganda dan penggunaan lingkaran media penyebar penipuan serta fitnah.

Daripada agensi rangkaian pembunuhan hinggalah kepada kelucahan dan kebanjiran narkotik yang mensasarkan moral dan adab serta moral remaja dan akhir sekali, daripada serangan diplomatik yang berterusan ke atas mana-mana pusat penentangan dan perjuangan hingglah kepada tindakan provokasi dalam bentuk keangkuhan puak, kaum dan bangsa, perasaan sangka buruk dan serkap jarang serta permusuhan sesama saudara dan sahabat.


Kalaulah sifat kasih sayang, saling percaya mempercayai dan saling harga menghargai mengambil tempat dan posisi sifat-sifat yang diaspirasikan musuh Islam seperti ketidakpercayaan dan permusuhan dalam kalangan umat dan bangsa Muslim, nescaya sebahagian besar konspirasi jahat golongan yang memusuhi Islam mampu dikalahkan sekaligus cita-cita jahat mereka untuk memperluaskan cengkaman mereka ke atas negara umat Muslim dapat digagalkan.

Haji adalah merupakan salah satu daripada peluang-peluang keemasan untuk mencapai matlamat suci tersebut.

Orang Muslim mampu berdepan dengan syaitan pelbagai muka dan bentuk ini dan seterusnya berjaya mengalahkannya hanya sahaja melalui kerjasama sesama Muslim dan pengharapan kepada asas dan usul bersama seperti mana yang telah dirakamkan dalam al-Quran dan Sunnah NabiNya. Iran yang mengamalkan Islam, dengan mengikuti suri tauladan Imam Khomeini kita yang hebat, telah mengungguli penentangan yang begitu baik hasilnya ini. Musuh-musuh telah merasai betapa pahitnya rasa kegagalan bila berhadapan dengan Iran yang mengamalkan Islam ini.

Tempoh 30 tahun yang penuh dengan agenda jahat, konspirasi demi konspirasi dan rasa dengki dan iri hati, bermula daripada mementaskan satu rampasan kuasa hingga kepada memaksa peperangan selama lapan tahun, daripada perlaksanaan sekatan ekonomi hingga kepada pembekuan harta dan wang, daripada melancarkan satu peperangan psikologi dan konfrontasi media hingga kepada meletakkan batu halangan bagi menggagalkan perkembangan saintifik dan usaha mendapatkan ilmu-ilmu moden dan terkini, termasuk kemahiran nuklear oleh umat Iran dan akhir sekali provokasi dan campur tangan melampau ketika pilihan raya yang hebat dan bermakna baru-baru ini, kesemuanya telah berubah menjadi sketsa-sketsa kegagalan dan meletakkan musuh dalam kecelaruan dan ketermanguan, melestarikan satu ayat al-Quran dalam minda rakyat Iran: “Sesungguhnya tipu daya syaitan itu amat lemah” (An-Nisa': 76)

Di pelusuk dunia yang lain juga, yang menyaksikan rakyat mendepani kuasa-kuasa yang angkuh melalui usaha penentangan berdasarkan inspirasi keimanan dan keyakinan, golongan beriman telah mencapai kejayaan ketika golongan yang bongkak lagi angkuh akhirnya digelumangi dengan kekalahan demi kekalahan dan skandal demi skandal. Kemenangan penuh gemilang rakyat Lubnan dan kemenangan penuh moral dan maruah rakyat Gaza dalam tempoh tiga tahun yang lepas tegak berdiri sebagai bukti ampuh terhadap kenyataan ini.

Saya, secara penuh sedar dan faham, menyarankan kepada saudara-saudari, para hujjaj yang budiman secara umumnya, khususnya kepada para ilmuan dan para pendakwah dan penceramah dari negara-negara Islam yang telah bersama dalam perhimpinan-perhimpunan Haji, dan juga golongan yang mengetuai solat-solat Jumaat di mimbar-mimbar yang mulia, agar dengan segera melaksanakan kewajiban kamu yang utama; bongkarlah segala konspirasi musuh-musuh Islam kepada makmum dan mereka yang menghadiri majlis-majlis kamu.

Serulah manusia kepada kasih sayang dan kesatuan, jauhilah sejauh-jauhnya apa-apa pun yang boleh menimbulkan buruk sangka dan ketidakpercayaan sesama Muslim dan tujukanlah segala cemuhan kepada golongan yang angkuh dan bongkak serta kepada musuh-musuh umat dan juga kepada perancang-perancang di sebalik semua fitnah dan tipu daya yang diketuai oleh puak Zionis dan Amerika Syarikat dan, dengan kita berusaha sedemikian rupa, membantu merealisasikan amalan yang menolak golongan tidak beriman secara percakapan dan secara amalan.

Saya, dengan rasa rendah hati, berdoa kepada Allah, yang Maha Tinggi dan Berkuasa, agar menganugerahkan keredhaanNya dan keberkatanNya kepada saya dan kepada saudara dan saudari semuanya.

Ayatullah Ali Khamenei ialah pemimpin tertinggi Republik Islam Iran. Artikel ini ialah ucapan khas beliau kepada para hujjaj pada 1439 Hijrah (2009).

Read More !

Konflik

  1. Dunia belajar hampir melabuhkan tirainya. Kenangan2 pahit dan indah menggamit - gamit di minda.
  2. Tirai dunia kerjaya pula hendak dibuka. Tapi nampak gayanya macam "payah" sedikit. Seolah-olah tirai yang menutupnya ini agak berat.
  3. Mencari kerjaya impian nyata mencabar. Sering berlaku konflik dalam diri. Sekejap rasa nak kerja ini, sekejap nak kerja itu, sekejap nak begitu, sekejap nak begini.
  4. Kadang-kadang rasa tak mahu proceed dengan dunia engineering. Tapi kadang-kadang rasa nak teruskan juga sebab rasa "sayang" untuk membazirkan ilmu-ilmu yang telah dipelajari selama 5 tahun di bumi Tronoh.
  5. Pengalaman 8 bulan berpraktikal membuktikan kerjaya sebagai engineer itu menarik, tapi kadang kala membosankan.
  6. Mengenali HPA ketika belajar di UTP juga menambahkan konflik mencari hala tuju kerjaya sebenar. Kadangkala rasa nak terus beniaga. Tapi bukan senang nak mula niaga. Modal, pelanggan, kedai, ilmu produk dll.. Pendek kata ambik masa juga tuh.. Risiko nak rugi pun tinggi.
  7. Krisis ekonomi juga menambahkan "perisa" konflik ini. Kegawatan ekonomi menyebabkan ramai syarikat kurang untuk mengambil pekerja baru. Suasana sebegini menyebabkan para graduan baru (termasuk lama) dalam dilema; sama ada mengutamakan kerja yang diminati atau mengutamakan kerja yang sampai di telinga dulu. Tunggu kerja yang diminati mungkin x akan dapat. Terus apply kerja yang sampai di telinga pula mungkin tidak menepati minat.
  8. Harapan ibu ayah nak melihat anaknya begitu dan begini kadang kala "bertentangan" dengan minat diri. Utamakan diri akan melukai hati mereka yang telah banyak berkorban. Utamkan mereka pula boleh menyebabkan diri yang derita.
  9. "Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin Allah"

Read More !